KUALA LUMPUR: Kerajaan bercadang untuk melanjutkan tempoh penempatan pasangan panda gergasi, Xing Xing dan Liang Liang (betina) di Zoo Negara.

Panda itu dipinjamkan untuk 10 tahun sejak Mei 2014 bersempena dengan ulang tahun ke-40 hubungan dua hala antara Malaysia dan China.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau akan menghubungi Presiden China, Xi Jinping berhubung perkara tersebut.

"Saya telah umumkan akan hubungi kerajaan China khusus Presiden China, Xi Jinping apakah kemungkinan menyambung penempatan panda gergasi itu," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan sambutan Jubli Intan Sepanjang Enam Dekad Memartabatkan Usaha Konservasi Hidupan Liar di Zoo Negara pada Sabtu.

Sejak ditempatkan di Malaysia, Xing Xing dan Liang Liang memiliki tiga ekor anak iaitu Nuan Nuan yang dilahirkan pada 18 Ogos 2015, Yi Yi (14 Jan 2018) dan Sheng Yi (30 Mei 2021).

Nuan Nuan dihantar pulang ke China pada 2017 manakala Yi Yi dan Sheng Yi pada Ogos tahun lepas.

Ditanya sama ada ia satu pembaziran buat kerajaan, beliau memberitahu, tiada pembayaran dibuat bagi mendapatkan kedua-dua panda itu.

"Kita tidak bayar harga panda itu cuma penyelenggaran sahaja. Kalau tanya orang ramai antara faktor yang menarik mereka untuk mengunjungi (zoo) adalah sebab nak lihat panda.

"Walaupun orang cerdik pandai kata boleh pergi negara China untuk lihat panda tetapi bagi rakyat, ini sahaja peluang yang ada untuk mereka, sekali seumur hidup," katanya.

Tambah beliau, perkara itulah yang menjadi pertimbangan.

"Saya tahu kos penyelenggaraan itu agak mahal tetapi inilah sikit belanja yang boleh senangkan pengunjung, jadi kena tengok dari segi itu," jelasnya. - Sinar Harian